fbpx

Air pasang besar dijangka landa empat negeri bermula hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Penduduk di pesisir pantai khususnya di Pantai Barat Semenanjung Malaysia diminta untuk berwaspada ekoran fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu depan.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata, bagaimanapun fenomena ini dijangka berskala lebih kecil berbanding bulan November lalu.

Namun kata JPS, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya fenomena ini disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak.

“Ia akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai (coastal flooding).

“Kawasan-kawasan berisiko adalah Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat) dan Johor (Batu Pahat serta Pontian),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu kata JPS, orang ramai khususnya pengunjung pantai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika menjalankan sebarang aktiviti air, riadah, dan rekreasi pada tarikh yang dinyatakan di kawasan terbabit.

“Orang ramai juga diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa,”ujar JPS. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI