PUTRAJAYA – Satu mayat wanita tanpa identiti ditemui di tasik berhadapan Skyrides, Presint 2 di sini semalam dalam keadaan kembung dan reput selepas dipercayai berada dalam air kira-kira dua hingga tiga hari.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mayat tersebut ditemui oleh seorang pengawal keselamatan warga Pakistan di Skyrides Festival Park Putrajaya dan dia kemudian memaklumkan majikannya.
“Pengawal keselamatan tersebut membuat rondaan kira-kira pukul 6.30 petang semalam serta terlihat satu patung (mayat), seterusnya memaklumkan majikannya dan beberapa orang datang untuk mengesahkan yang terapung adalah mayat.
“Berikutan itu, majikannya membuat panggilan kepada polis pukul 6.55 petang dan kemudian, pegawai yang bertugas bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, mayat tersebut berketinggian kira-kira 160 sentimeter, manakala bangsa dan usia tidak dapat dipastikan dan sewaktu ditemui, mayat dalam keadaan terlentang mengadap ke atas serta berpakaian lengkap.
Tambah A. Asmadi, kes tersebut diklasifikasi awal sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat serta pengesanan identiti dan waris melalui rekod laporan orang hilang.
Polis mohon kerjasama orang awam terutama keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian serta mangsa supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di talian 03-8886 2145 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Hafiza 019-892 6572. – K! ONLINE