LONDON – Biarpun sedar bahawa kejuaraan Liga Perdana Inggeris tidak boleh ditentukan pada musim sejuk, namun pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tetap menantikan reaksi daripada para pemainnya ketika berkunjung ke Stamford Bridge untuk menentang Chelsea tengah malam ini.
The Reds mengumpul 41 mata kini ketinggalan sembilan mata berbanding Manchester City di puncak liga dan hanya dipisahkan satu mata berbanding The Blues.
Kekalahan 0-1 kepada Leicester City sebelum ini juga membuatkan bekas pengendali Borussia Dortmund itu menyimpan hasrat untuk melihat anak-anak buahnya melakukan kebangkitan bagi menebus kekecewaan.
Keputusan positif pada aksi menentang Chelsea cukup penting buat Liverpool bukan sahaja untuk terus kekal di kelompok empat terbaik tetapi bagi memastikan jurang mata dengan City kembali dirapatkan.
“Kami tidak begitu gembira dengan perlawanan sebelum ini dan kami perlu tunjukkan reaksi segera. Kami mungkin mampu meraih kemenangan tanpa bermain dengan cara yang baik, tetapi adalah sesuatu yang bagus untuk kami beraksi dengan lebih sempurna.
“Tiada pasukan yang boleh memenangi liga ketika musim sejuk. Namun, City melakukannya dengan baik apabila menjarakkan kedudukan agak selesa
“Jadi, kami perlu terus berada rapat dengan mereka memandangkan masih banyak perlawanan yang perlu dihadapi,” kata Klopp.
Bagaimanapun, The Reds kini dihimpit dengan masalah jangkitan Covid-19 hingga menyaksikan Alisson dan Roberto Firmino tidak dapat menyertai latihan pasukan pada Khamis.
Berdasarkan rekod, Liverpool berjaya meraih kemenangan dalam dua aksi terakhir di tempat lawan, namun beberapa isu yang melanda Liverpool menyebabkan Klopp melihat aksi menentang Chelsea adalah seimbang.
Sementara itu, Diogo Jota mendakwa dia cukup ‘masak’ dengan taktik pengendali Chelsea, Thomas Tuchel dan masalah kecederaan yang melanda pasukan itu akan memberi kelebihan kepada Liverpool.
“Ia sentiasa menjadi tugas yang sukar kerana kami tidak pasti apakah cara yang mereka akan gunakan. Apa sahaja sistem yang akan mereka gunakan, kami akan sentiasa cuba untuk mengatasinya.
“Namun Chelsea tidak berada pada situasi 100 peratus bersedia tetapi kami tahu mereka akan bermain dengan tiga pertahanan. Kini bergantung kepada kami sendiri untuk mengenal pasti ruang dan cuba ambil kesempatan,” jelasnya. – AGENSI