LOS ANGELES – Presiden Ultimate Fighting Championship (UFC), Dana White percaya, Khabib Nurmagomedov tidak layak digelar atlet seni bela diri campuran (MMA) terbaik sepanjang zaman kerana mengambil keputusan untuk bersara awal.
Sebagai rekod, Khabib merupakan juara bagi kategori lightweight UFC untuk tempoh lebih dua tahun dengan menewaskan beberapa jaguh utama seperti Conor McGregor, Dustin Poirier dan Justin Gaethje.
Malah, atlet kelahiran Rusia itu turut mengakhiri karier profesional tanpa sebarang kekalahan dalam 29 pertarungan sebelum mengambil keputusan bersara pada usia 32 tahun kira-kira dua tahun lalu.
Kata White, keputusan untuk Khabib bersara awal telah meruntuhkan reputasinya selaku atlet MMA terbaik sepanjang zaman kerana masih ada beberapa nama besar yang memiliki rekod lebih bagus di atas gelanggang.
“Sukar untuk saya memilih siapa atlet terbaik yang pernah bertarung dalam UFC, tetapi suka untuk saya katakan antara yang berpengaruh seperti Chuck Liddell dan Ronda Rousey yang cukup setia membina karier bersama UFC.
“Bagi generasi sekarang, saya anggap Kamaru Usman memiliki potensi untuk menjadi antara yang terbaik sepanjang zaman kerana cukup konsisten sejak beberapa tahun lalu.
“Situasi berbeza dengan Khabib yang sepatutnya boleh diiktiraf sebagai legenda utama, selain gelaran atlet terbaik sepanjang zaman. Namun apabila dia mengambil keputusan untuk bersara awal, reputasinya dalam arena ini sedikit terjejas,” katanya.
Difahamkan, Khabib telah menolak pelawaan jaguh tinju dunia, Floyd Mayweather untuk mengadakan pertarungan pertunjukan yang boleh menjana pulangan lebih AS$100 juta (RM416 juta). – AGENSI