KEHADIRAN Kosmo! di kediaman tiga tingkat Shuib di Puchong, Selangor untuk sesi fotografi edisi tahun baharu tempoh hari benar-benar menyingkap memori lelaki itu terhadap arwah isterinya, penyanyi Siti Sarah Raissuddin.
Sedang Shuib bersiap-siap, lama dia merenung anak keduanya, Dzahira Talita Zahra yang merupakan satu-satunya bunga dalam keluarga sedang ditatarias jurusolek, Vie Xenddra.
Seraya, Shuib menoleh kepada penulis dan berkata: “Ingat tak, inilah kerusi dan posisi kegemaran arwah untuk bersolek jika ada sesi fotografi di rumah.
“Sekarang, tempat itu diganti oleh Talita. Cantik sangat Talita bila bersiap sama seperti ibunya.”
Emosi yang bergulung-gulung di dadanya terpancar ke muka. Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 37, kini seorang bapa tunggal kepada empat orang anak, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini berusia lima bulan. Hal itu bukan lagi sesuatu yang canggung buat Shuib.
Arwah isterinya, Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos lalu selepas melahirkan anak bongsu mereka Ayash dalam keadaan dijangkiti virus Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.
Ditebak bagaimana kehidupannya memikul gelaran ‘kepala’ keluarga, melangkah ke hadapan atau ‘move on’ daripada episod paling sukar dalam kehidupannya, Shuib terdiam, cuba mencari ungkapan paling tepat barangkali. Bibirnya lambat melenturkan bicara.
“Saya tiada jawapan untuk soalan itu. Sekarang ini, saya cuba sibukkan diri. Sekarang ini saya seorang diri, apabila pulang ke rumah, tidur sendirian pasti akan teringat arwah.
“Sudah hampir lima bulan, saya serahkan kepada masa. Melupakan memang tidak boleh, tetapi sekarang sakit sedikit berkurangan, saya sedang terima serta sesuaikan diri hidup tanpa dia.”
Bagi melepaskan kerinduan tanpa berpenghujung buat Siti Sarah, selain menitipkan doa, Shuib sesekali akan mendengar lagu dendangan arwah.
Setiap kali mendengar lagu arwah isterinya, segala memori manis yang dicipta bersama semasa hayatnya bermain-main dalam minda.
“Sejak arwah tiada, saya tiba-tiba suka dengar muzik dan hayati lagu, lalu datang pelbagai emosi. Kadangkala terfikir juga kenapa saya mahu membinasakan diri dengan mendengar lagu-lagu sedih.
“Tambahan, lagu-lagu arwah saya akan dengar sewaktu rasa terlalu rindu padanya. Dengar kembali lagu-lagu duet bersamanya akan buatkan saya teringat kembali momen kena marah di studio, reaksi dan senyumannya,” ujar Shuib beremosi.
Kekuatan
Tentang anak-anak mengharungi kehidupan tanpa ibu di sisi, Shuib menjelaskan, meskipun masih kecil, namun anak-anak lebih kuat berbanding dirinya.
Sedang Shuib masih berperang dengan emosi setiap kali teringatkan arwah, anak-anak sudah mampu menerima kenyataan bahawa ibu mereka telah tiada.
“Anak-anak sebenarnya sangat kuat. Saya masih menangis andai teringat, anak-anak sudah boleh bercakap tentang arwah ibu mereka dalam keadaan normal.
“Contohnya, mereka cakap rindu ibu, kemudian terus anak-anak baca al-Fatihah. Baru-baru ini, saya bawa mereka bercuti ke Pulau Pinang dan pergi ke restoran kegemaran kami sekeluarga.
“Kedudukan meja yang sama, cuma tiada arwah ibu mereka sahaja. Anak-anak boleh bercakap secara normal, ibu suka makan ini. Saya yang termenung melihat situasi tersebut,” tutur Shuib sayu.
Lelaki itu juga amat bersyukur meskipun anak keempatnya, Ayash dilahirkan pramatang, si bongsu itu berada dalam keadaan sihat dan kini mencapai berat tujuh kilogram.
“Saya tidak sabar untuk melihat dia membesar. Perjalanan indah bersamanya seperti dalam sebuah filem. Nanti dah besar, Ayash akan faham bahawa dia seorang anak yang sangat istimewa.
“Satu Malaysia tahu kisah kelahirannya yang luar biasa. Kisahnya akan diingati sampai bila-bila dan dia akan tahu betapa hebat arwah ibunya,” tutur Shuib penuh makna.
Justeru, sebagai pemegang amanah kepada anak-anaknya, dia berjanji akan memberi yang terbaik buat mereka.
“Saya tidak memaksa anak-anak, sebaliknya hanya ikut apa yang mereka minati. Uwais sangat meminati sukan golf dan berbakat dalam muzik. Dia boleh bermain piano hanya dengan mendengar muzik. Jadi, saya akan mencari guru piano agar dia lebih serius.
“Talita pula sangat berminat untuk meneruskan legasi arwah ibunya. Matin masih terlalu muda, saya tidak nampak apa yang diminati setakat ini selain dia sangat berani dan seorang yang lucu.
“Ketika arwah masih hidup, kami tidak sempat merancang apa-apa untuk Ayash. Sekarang ini, saya berharap agar dia menjadi seorang tahfiz. Insya-Allah, saya akan usahakan,” katanya.
Jodoh
Meskipun terlalu awal untuk berbicara soal jodoh, Shuib bagaimanapun bersikap terbuka tentang perancangan Allah buatnya pada masa hadapan.
Akui usahawan itu, hatinya masih kosong dan belum ada wanita yang berjaya mencuri tempat mengisi kelompongan yang ada.
“Soal jodoh dan ajal, Allah yang tentukan. Jika saya kata, janganlah ambil Sarah cepat sangat, tetapi Allah tetap ambil jua. Begitulah juga dengan kehidupan saya pada masa depan. Saya tidak berani untuk cakap lebih-lebih mengenai soal jodoh.
“Jika esok lusa saya jatuh cinta dengan orang lain, jadi saya serahkan semuanya pada Allah. Saya pun sudah matang, andai berkahwin lagi pasti sudah tahu apa yang diinginkan dalam sebuah perkahwinan,” tegas Shuib.
Biarpun begitu terdapat syarat-syarat yang ditetapkan sebelum membenarkan hatinya kembali dimiliki.
“Sebagai manusia, sudah fitrah kita ingin berkasih sayang dan ada yang menemani. Namun, saya lebih fikirkan anak-anak. Andai saya berkahwin semula, sebab utamanya adalah demi anak-anak.
“Mereka masih kecil dan perlukan kasih sayang seorang ibu. Terutamanya Talita yang saya lihat lebih banyak berdiam berbanding dahulu. Sebelum ini, dia selalu berkongsi cerita, pakaian dan alat solek bersama arwah ibunya.
“Walaupun saya cuba yang terbaik, pasti ada ruang-ruang kosong yang tidak mampu saya isi kerana saya lelaki, tidak memahaminya seperti mana seorang ibu. Cepat atau lambat jodoh, saya serah pada Allah,” kata Shuib yang mengaku suka wanita yang manja dan pandai menyanyi.
Beralih tentang kerjaya, selepas beberapa bulan berehat, Shuib akan kembali sibuk pada tahun ini apabila perniagaan BubbleBee mula masuk ke pasaran antarabangsa. Antaranya Singapura, Brunei, Indonesia, Amerika Syarikat, Mekah dan Madinah.
“Tahun ini memang saya akan lebih sibuk dengan perniagaan kerana BubbleBee akan ke peringkat antarabangsa. Bukan mudah, perlukan pasukan besar dengan projek berskala mega.
“Di sebalik ujian, saya bersyukur. Allah hadirkan rezeki dan sokongan yang kuat daripada rakyat Malaysia. Terus doakan yang baik-baik buat kami sekeluarga,” luah Shuib menutup bicara.