Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI
PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini mengesahkan pekeliling yang tular berhubung kenderaan persendirian tamat tempoh cukai jalan tidak lebih tiga tahun boleh membuat pembaharuan tanpa perlu menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) mulai esok.
Perkara tersebut disahkan oleh Pengarah Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik JPJ, Mohammad Yatim Nawawi.
“Justeru, pemakluman akan dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong hari ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kalamariff Holdings Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Semalam, satu pekeliling tular di media sosial berhubung kereta dan motosikal tamat tempoh cukai jalan tidak lebih tiga tahun boleh membuat pembaharuan tanpa perlu menjalani pemeriksaan PUSPAKOM mulai Jumaat.
Menerusi surat pekeliling tersebut, dua jenis kenderaan itu yang mempunyai cukai jalan sudah tamat tempoh selama 12 bulan dan tidak melebihi 36 bulan dibenarkan memperbaharui cukai tanpa perlu pemeriksaan kenderaan oleh PUSPAKOM.
Untuk proses pembaharuan cukai jalan, pemilik kenderaan boleh memperbaharuinya secara dalam talian namun perlu menggunakan transaksi MySikap.
Bagi kenderaan yang cukai jalannya tamat tempoh lebih 36 bulan, masih perlu membawa kenderaan itu ke PUSPAKOM untuk menjalani pemeriksaan seperti biasa. -K! ONLINE