LONDON – Seorang lelaki dari Manchester yang menempah perkhidmatan ‘e-hailing’ Uber untuk pulang ke rumah selepas keluar berparti bersama rakan-rakannya terkejut apabila menerima bil bernilai £104 (RM585) meskipun pada jarak hanya 19 kilometer (km), lapor akhbar Mirror UK semalam.
Sam George, 21, yang keluar bersama rakan-rakannya telah menempah perkhidmatan itu untuk pulang ke rumah.
Perjalanan itu yang berhenti dua kali sebelum menuju ke Crumpsall hanya mengambil masa kurang dari setengah jam dengan jarak sejauh 19 km.
George berkata, perjalanan sama selalunya hanya berharga £25 (RM140.86), namun caj yang dikenakan kepadanya adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding biasa.
Sebelum menempah Uber, George bersama rakan-rakannya cuba menghubungi syarikat teksi lain untuk pulang namun gagal.
“Ia adalah tidak wajar, bagaimana satu perjalanan kurang 30 minit menelan belanja lebih £100?,” soalnya.
George turut menambah walaupun berada di bawah pengaruh alkohol, dia masih sedar dan tidak akan membuat tempahan itu pada harga yang tinggi.
Syarikat Uber bagaimanapun mengatakan bahawa semua caj perjalanan sudah dikira dan pelanggan akan diberikan harga caj sebelum menerima tempahan. – AGENSI