KUALA LUMPUR – Tiada lagi teka-teki, penyanyi dari Indonesia, Denden Gonjalez, 38, yang popular dalam YouTube dipilih sebagai vokalis baharu kumpulan rock legenda, Search menggantikan posisi yang ditinggalkan Amy.
Pemain gitarnya, Noordin Mohd. Taib berkata, reputasi, kemampuan membawakan lagu bernada tinggi selain pengalaman bekerja dengan ramai penghibur di negara itu menjadi faktor untuk Search menyambar Denden.
“Search memilih Denden disebabkan suaranya yang mantap apabila mampu menyanyikan lagu bernada tinggi sekali gus bertepatan dengan repertoir kumpulan ini.
“Dari segi kredibiliti, dia tidak asing dalam senario industri muzik Indonesia kerana popular dalam YouTube membawakan lagu ‘cover version’ sejak lima tahun lalu. Kami juga menemui bakat dari Bandung ini dalam YouTube.
“Denden pernah berkolaborasi dengan Inka Christie dan Judika. Malah paling menyerlah adalah aksinya dalam program The Voice Bulgaria 2021 apabila dia memukau juri ketika menyanyikan lagu She’s Gone nyanyian asal Steelheart.
“Bagi kami, usia 38 tahun adalah waktu puncak kegemilangan ditambah tenaga muda dimilikinya untuk memperkukuhkan lagi jenama Search terutama di Indonesia,” katanya pada majlis khas, hari ini.
Majlis pengumuman yang berlangsung di Kompleks Wilayah Kuala Lumpur sebentar tadi diadakan serentak dengan pelancaran pembukaan kedai barangan Search Rock Station.
Pada acara sama, kumpulan yang ditubuhkan pada 1981 itu turut mengumumkan pemuzik berpengalaman luas iaitu Yan sebagai pemain bass mereka.
Yan atau nama sebenarnya, Amran Marsiman bukan asing kepada Search kerana pernah menganggotai kumpulan itu menerusi album pertama, Cinta Buatan Malaysia pada 1985.
Selain itu, Yan juga bersama Search dalam pembikinan album Rampage, Double Trouble yang juga projek kolaborasi bersama Wings serta Search 10 Tahun.
“Yan memang serasi dengan Search. Dia sudah bermain dalam banyak konsert Search termasuk ketika Search membuat persembahan di New Music Seminar di New York, Amerika Syarikat pada 1991,” katanya.
Selain Noordin dan Kid, Search mengekalkan Pae sebagai pemain dram yang sebelum ini menggantikan Allahyarham Yazit Ahmad ketika dia mengalami masalah kesihatan beberapa tahun lalu.
Mengenai pembukaan kedai Search Rock Station yang mula beroperasi hari ini, Noordin berkata, premis tersebut menjual barangan cenderahati rasmi Search seperti t-shirt, kasut, topi serta peralatan muzik.
“Di sini juga menjual alat muzik seperti gitar serta menawarkan proses jual beli gitar di situ. Ada juga gitar milik saya dan Kid yang diletakkan di situ sebagai pameran,” katanya yang turut melancarkan laman web rasmi www.fenomenasearch.com.
Terdahulu, vokalis asal Search, Amy meninggalkan kumpulan itu pada Mac tahun lalu dan ‘disertai’ pula Nasir Daud yang bergabung dengan vokalis berkenaan bersama dua lagi bekas anggota iaitu Hillary Ang dan Man Kidal sebagai satu lagi Search.
Kontroversi membabitkan kumpulan yang terbahagi kepada dua itu tercetus sejak tahun lalu. – K! ONLINE