fbpx

Guru wanita rugi RM216,000 selepas dedahkan TAC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

TELUK INTAN – Tindakan seorang guru wanita mendedahkan Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada seorang individu yang menyamar sebagai pegawai di mahkamah tinggi mengundang padah apabila dia kerugian RM216,000.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian bermula apabila wanita berusia 48 tahun itu dihubungi syarikat insurans pada 10 November lalu yang mendakwa mangsa ada membuat tuntutan insuran kemalangan.

Katanya, mangsa menafikan tuntutan itu sebelum panggilan tersebut disambungkan ke Balai Polis Pudu bagi tujuan membuat laporan pembatalan insurans.

“Panggilan juga disambung kepada pihak mahkamah kononnya mangsa terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram.

“Terpedaya dengan dakwaan tersebut, mangsa telah membuat dua pinjaman peribadi berjumlah RM177,000 yang kemudian dipindah masuk ke dalam Bank Rakyat miliknya.

“Tujuan pindahan wang itu dilakukan setelah diarahkan suspek dengan alasan memudahkan seliaan dan pemantauan pihak mahkamah,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, pada 1 Disember lalu, mangsa telah mendedahkan maklumat perbankan termasuk nombor TAC melalui panggilan telefon kepada lelaki dikenali Encik Wong yang mendakwa dari mahkamah tinggi.

“Pengadu hanya menyedari dia ditipu setelah dimaklumkan oleh pihak bank yang wang dalam akaun miliknya berjumlah RM216,000 telah dipindahkan secara berperingkat-peringkat membabitkan 13 transaksi.

“Kesemua transaksi pengeluaran wang itu dibuat melalui perbankan internet yang dipindahkan kepada dua akaun lain di mana akaun tersebut dikawal oleh suspek,” katanya.

Tambah beliau, mangsa telah membuat semakan akaun di bank semalam dan mendapati kesemua wang miliknya lesap sebelum membuat laporan di Balai Polis Teluk Intan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan mendedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI