KUANTAN – Gara-gara tertarik dengan iklan pelaburan Bitcoin yang dikatakan dapat mengaut keuntungan lebih 50 peratus dalam masa 24 jam, seorang kerani wanita akhirnya kerugian RM7,500 selepas menjadi mangsa pelaburan tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berusia 35 tahun dari Taman PSJ Jarang Damai di sini melihat iklan pelaburan terbabit di aplikasi Telegram.
“Mangsa telah berhubung dengan suspek melalui Telegram dan telah diterangkan mengenai satu pelaburan Bitcoin yang menguntungkan.
“Mangsa diminta untuk membuat bayaran modal sebanyak RM500 dan akan mendapat keuntungan 50 peratus atau lebih dalam tempoh 24 jam dan mangsa telah membuat pemindahan wang ke akaun yang diberikan suspek bagi tujuan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, susulan itu pada 28 Disember lalu, mangsa dimaklumkan oleh suspek bahawa wang pelaburannya telah bertambah dan dia diminta membuat pembayaran bagi memindahkan duit tersebut ke dalam akaunnya.
Katanya, mangsa sekali lagi membuat pemindahan wang berjumlah RM7,000 ke akaun yang diberikan suspek melalui lima transaksi namun suspek masih meminta wang daripada mangsa dengan alasan yang tidak munasabah.
“Mangsa menyedari telah ditipu datang ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu dan kes masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”ujarnya. – K! ONLINE