KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dan ibunya maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2.5 Lebuh Raya DUKE awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, penunggang motosikal berusia 28 tahun manakala ibunya berusia 60 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mereka dalam perjalanan menghala ke pusat bandar.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa telah melanggar belakang sebelah kanan kenderaan jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan dan melanggar sebuah lagi kereta jenis Proton Persona.
“Akibat kemalangan terbabit, kedua-dua mereka telah mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-20719999,” jelasnya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian. – K! ONLINE