fbpx

Pengawal keselamatan maut dihempap besi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah JKKP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Ir. Zamzurin bin Maarof (kiri) sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian.

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan maut selepas dihempap paip besi galvani (GI) ketika membuat rondaan di kawasan parkir Bangsar Trade Center, Bangsar berhampiran sebuah tapak pembinaan di sini semalam.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam kenyataan berkata, kejadian berlaku pada pukul 10.40 pagi ketika seorang pekerja binaan menjalankan kerja-kerja membuka ‘formwork’ di tingkat 15 tapak pembinaan terbabit.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

“Pegawai Penyiasat JKKP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah menjalankan penyiasatan ke atas kejadian tersebut dan mengeluarkan Surat Larangan Mengganggu bagi melarang sebarang kerja dijalankan di kawasan kejadian untuk tujuan penyiasatan,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Notis Larangan juga telah dikeluarkan atas kesalahan gagal memastikan aktiviti pembukaan ‘formwork’ dijalankan dengan selamat sehingga menyebabkan kemalangan maut.

“Pihak JKKP juga telah mengeluarkan arahan bagi menghentikan operasi dan aktiviti pembinaan di tapak pembinaan tersebut selain mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan yang melibatkan pekerja atau orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan. Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif iaitu Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI