PUTRAJAYA – Seorang penjual cakera video digital (DVD) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas didapati bersalah menjual karya DVD filem tanpa hakcipta pada 26 November lalu.
Perkara itu disahkan Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam menerusi kenyataan, hari ini.
Azman berkata, tertuduh didapati menjual DVD filem bertajuk ‘Ada Apa Dengan Dosa’ tanpa hakcipta menerusi platform beli belah dalam talian.
Beliau berkata, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu selepas kes didengar semula di mahkamah pada 28 Disember lalu.
“Siasatan mendapati, tertuduh didapati menjual satu salinan karya filem dalam bentuk DVD itu tanpa hakcipta pada 2 Julai lalu sebelum serbuan dibuat di sebuah premis di No. 18, Tingkat Bawah, Kompleks Sultan Abdul Hamid, Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah pada 28 November lalu.
“Siasatan mendapati hak cipta DVD filem itu masih dimiliki oleh dan masih wujud bagi Pencil Pictures And Records Sdn. Bhd,” katanya.
Katanya, pemeriksaan telah dilakukan ke atas telefon bimbit jenis IPhone 7 Plus milik tertuduh dan mendapati tertuduh memiliki satu akaun Shopee yang memaparkan rekod penjualan DVD itu.
Azman berkata, susulan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1)(b) Akta Hakcipta 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41(1)(b)(i) Akta sama.
“Mahkamah turut memutuskan tertuduh supaya eksibit dilucuthak dan diserahkan kepada pihak pendakwaan mengikut Seksyen 50A Kanun Acara Jenayah (KAJ),” katanya.- K! ONLINE