BOULDER, COLORADO – Beratus-ratus kediaman dikhuatiri musnah dalam satu kebakaran hutan di negeri Colorado, Amerika Syarikat, selepas api marak merebak ke kawasan kering akibat kemarau, kata pegawai.
Sekurang-kurangnya 647 hektar kawasan terbakar di daerah Boulder dengan kebanyakannya adalah kawasan pinggir bandar.
Susulan itu, amaran mengenai angka kematian dan kecederaan yang serius dikeluarkan selepas api marak merebak ke beberapa buah hotel dan pusat beli-belah.
“Kira-kira 370 kediaman di kawasan kejiranan Sagamore telah musnah. Berkemungkinan 210 buah rumah lagi turut musnah di kawasan Old Town Superior.
“Disebabkan keadaan magnitud dan api marak di kawasan berpenduduk tinggi, kami tidak menolak kemungkinan terdapat kecederaan dan kematian,” kata Syerif Daerah Bolder, Joe Pelle.
Beribu-ribu penduduk telah diarah keluar dari kawasan kebakaran yang didakwa berpunca daripada talian elektrik yang tumbang akibat angin kencang. – AFP