GEORGE TOWN – Beberapa peruncit dan peniaga di pasar awam negeri ini terpaksa menghentikan sementara penjualan beberapa barangan keperluan yang mengalami kenaikan harga bagi mengelak dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa.
Seorang peniaga sayur, Izam Abd Hamid, 42, berkata, dia tidak menjual sayur kacang kerana mendapat harga daripada pemborong masih tinggi iaitu RM7 sekilogram.
“Harga kacang panjang yang ditetapkan bagi peruncit adalah RM7 sekilogram. Saya langsung tidak memperoleh sebarang keuntungan sekiranya terpaksa menjual mengikut harga terbabit,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Izam memberitahu, pihaknya kini turut berdepan dengan ketiadaan bekalan terung bulat sejak dua minggu lalu.
Sementara itu, seorang lagi peruncit, Abdul Rahman Ahmad, 71, pula berkata, dia juga mengambil keputusan untuk tidak menjual telur ayam sejak empat bulan lalu.
“Kenaikan harga telur ayam bagi gred C iaitu 35 sen kepada 40 sen sebiji disifatkan terlalu tinggi dan menghimpit pengguna.
“Saya tidak sanggup menjual barangan keperluan yang mengalami kenaikan harga terlampau sehingga mendatangkan bebanan kepada pelanggan.
“Saya tidak mahu kehilangan pelanggan tetap atas sebab kenaikan harga mendadak bagi satu barangan,” jelasnya.
Tinjauan mendapati bekalan ikan kembung berkurangan setakat semalam dan kini dijual pada harga RM12 hingga RM16 sekilogram.
Bagi telur ayam pula, peniaga dilihat menjualnya pada harga 40 sen (gred C), 42 sen (gred B) dan 44 sen (gred A). -K! ONLINE