PEMAIN baharu Selangor, Muhd. Fazly Mazlan cukup terharu apabila dapat menyertai pasukan Gergasi Merah yang juga pasukan digemarinya sejak kecil.
Selangor menjadi pasukan pertama yang diminatinya memandangkan dirinya dilahirkan di Klang dan hanya berpindah ke Muar, Johor pada usia lima tahun.
“Jadi apabila dapat bersama Selangor, saya rasa seperti satu penghargaan besar dalam karier saya.
“Secara kebetulan saya sendiri dilahirkan di Hospital Besar Klang sebelum orang tua saya berpindah ke Muar dan dibesarkan di Johor. Sememangnya gembira dapat sertai pasukan besar seperti Selangor.
“Sejak dari kecil lagi saya sudah meminati Selangor malah sering kali ikuti perkembangan mereka,” katanya.
Selepas berpindah dari Selangor, perkembangan karier bola sepak Fazly lebih banyak tertumpu di Johor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) banyak membantu perkembangan permainannya.
Paling diingati pastinya dapat membantu Harimau Selatan pada pertandingan Piala AFC sebelum dipinjamkan ke Sri Pahang musim lalu.
Mengulas penyertaannya di Selangor, pertahanan kiri itu akui yang dia bakal berdepan persaingan sengit dengan pemain sedia ada seperti R. Dinesh, Ahmad Zikri Mohd. Khalili dan Azrin Afiq.
“Kualiti dimiliki sebahagian besar pemain muda Selangor cukup bagus dan sememangnya ia perkara baik untuk pasukan. Saya akan cuba bantu pasukan ini, namun saya tetap melihat pasukan ini miliki potensi besar.
“Jika mendapat minit permainan, saya rasakan ini waktu terbaik mendapatkan kembali tempat dalam pasukan kebangsaan,” katanya.