PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk mengecualikan cukai ke atas pendapatan yang diterima dari luar negara (FSI) kepada pembayar cukai pemastautin berdasarkan dua kategori dan syarat substantif.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan hari ini berkata, bagi kategori syarikat atau perkongsian liabiliti terhad, jenis pendapatan yang dikecualikan cukai adalah pendapatan dividen.
Menurutnya, bagi kategori individu pula, semua jenis pendapatan dikecualikan cukai dan kedua-dua kategori itu tertakluk kepada syarat kelayakan yang akan diperincikan dalam garis panduan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Selain daripada jenis pendapatan bagi dua kategori itu, ia tertakluk kepada pengenaan cukai di Malaysia.
“Pengecualian berkenaan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026,” katanya.
Katanya, bagi kategori pembayar cukai individu, kerajaan memberikan pengecualian kepada semua individu kecuali yang menjalankan perniagaan perkongsian di Malaysia, di mana akan tertakluk kepada cukai bagi pendapatan FSI yang diterima.
Dalam pada itu, MOF juga memaklumkan, kerajaan mengenakan kadar duti setem 0.15 peratus ke atas nota kontrak bagi dagangan saham atau stok dan amaun maksimum duti setem yang dikenakan bagi setiap nota kontrak ini adalah dihadkan sehingga RM1,000. – K! ONLINE