KETIKA itu jam menunjukkan pukul 3.30 petang. Kami berlima berjaya sampai di Panalaban pada ketinggian 3,272.7 meter itu selepas memulakan pendakian selama enam jam dari Timpohon.
Seorang lagi kawan tiba sejam kemudian. Terlalu penat dia kata. Semua orang penat kerana diuji mental serta fizikal demi menjayakan misi menawan puncak Kinabalu pada 20 Disember lalu.
Usai meletakkan barang dan berehat seketika di bilik hostel yang terlalu sejuk dengan suhu dua darjah Celsius, kami bergegas ke Restoran Laban Rata pula untuk mengisi perut.
Ketika asyik mengambil gambar dengan latar belakang awan karpet, seorang demi seorang pendaki lain mula sampai. Perasaan bangga tergambar pada wajah kerana berjaya tiba terlebih dahulu daripada yang lain.
Antara yang muncul ialah beberapa porter. Mereka gigih mengangkut barang pendaki yang diamanahkan untuk dibawa bersama. Upahnya RM13 untuk setiap kilogram. Lagi banyak beg, lagi mereka suka.
Bersama kami dua lagi Malim Gunung yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam selok-belok menawan puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.
Salah seorangnya merupakan warga emas berusia 63 tahun yang terkenal dalam kalangan Malim Gunung dengan panggilan cikgu.
Cikgu cukup berpengalaman kerana telah berkhidmat sebagai Malim Gunung selama 37 tahun. Upah yang diperoleh sepanjang tempoh itu digunakan untuk membesarkan lapan anak daranya.
Cikgu seorang yang kurus dan tegap walaupun sudah menginjak usia senja. Lututnya cukup kuat dan dia memberitahu hanya memakan nasi dan ikan kering ketika ditanya mengenai rahsia kesihatannya.
Raut wajahnya cukup tenang dan dia memberitahu memang penat bergelar Malim Gunung walaupun sudah entah berapa ratus kali tiba di puncak Gunting Lagadan.
Walaupun dibenarkan membawa pendaki dua kali seminggu, tiada langsung kerisauan yang tergambar pada wajah setiap Malim Gunung dan porter mengenai rezeki masing-masing.
Ketika semua orang heboh mengenai halangan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ekoran bencana banjir, mereka masih cekal mengorak langkah dan memikul bebanan demi mengisi perut ahli keluarga.
Begitu juga dengan tukang masak di Restoran Laban Rata. Satu-satunya pekerjaan yang bukan sahaja memerlukan skil memasak tetapi kekuatan jasmani untuk mendaki dan turun Gunung Kinabalu sebelum boleh ‘bersilat’ di dapur.
Ya, semua tukang masak Kinabalu adalah pendaki, namun bukan semua pendaki adalah tukang masak. Begitulah keadaannya.
Seperti Malim Gunung yang setia menemani pendaki di bawah seliannya, ada pengajaran yang boleh diambil kerajaan mengenai hal KWSP.
Bukannya Malim Gunung yang mengawal tetapi mereka akur kepada pendaki yang diselia kerana kaedah mengatakan setiap ketua itu ialah khadam kepada pengikutnya.
Bagaimanapun, mungkin ada sesuatu yang lebih merisaukan kerajaan sehingga sanggup mengambil keputusan tidak popular itu.
Namun harus diingat, mangsa banjir yang baru hendak keluar daripada masalah Covid-19, kini ada masalah baharu iaitu mana mahu korek duit untuk memulakan hidup. -K! ONLINE