KUALA LANGAT – Empat termasuk ketua penyamun Geng Gopi terpaksa berputih mata apabila tidak sempat berjoli hasil jenayah mereka selepas ditangkap dalam tempoh tujuh jam selepas memecah masuk sebuah rumah di Batu 10, Telok Panglima Garang di sini kelmarin.
Tiga daripada suspek diberkas di sebuah premis kimpalan usang di Seksyen 36, Shah Alam manakala ketua mereka dalam rumahnya di Bukit Kemuning, Klang antara pukul 6 petang hingga 11malam selepas melakukan jenayah pukul 4.30 petang.
Kesemua suspek berusia 30an itu mempunyai rekod jenayah dengan ketua kumpulannya sendiri terdapat 21 rekod.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor@Saleh berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima laporan daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu berusia 51 tahun memaklumkan kediamannya dipecah masuk beberapa individu tidak dikenali.
Katanya, antara barangan mangsa yang hilang adalah topi keledar jenis LS2, pasport, kunci kenderaan dan kereta jenis Proton Iswara milik majikan mangsa.
“Bertindak hasil maklumat, polis kemudiannya menyerbu sebuah premis kimpalan paip yang telah lama tidak beroperasi di Shah Alam dengan menahan tiga suspek.
“Hasil serbuan itu menemui semula kunci dan kenderaan mangsa serta merampas sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di kawasan Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, soal siasat kemudiannya membawa serbuan kedua di sebuah rumah di Bukit Kemuning dengan menangkap ketua geng berkenaan serta pasport milik mangsa.
Ahmad Ridhwan menambah, polis percaya dengan penangkapan Geng Gopi berkenaan berjaya menyelesaikan enam kes pecah rumah dan dua kes curi kenderaan di sekitar Telok Panglima Garang dan Klang. -K!ONLINE