fbpx

Batal DUN Sungai Udang, Februari 2022 dengar bantahan awal SPR dan 2 pihak lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Melaka menetapkan 7 dan 11 Februari ini bagi mendengar bantahan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua lain terhadap petisyen pilihan raya yang dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad bagi membatalkan kemenangan Dr. Mohd. Aleef Yusof daripada Perikatan Nasional (PN) yang memenangi kerusi itu.

Perkara itu dimaklumkan, Peguam Kanan Persekutuan S.Narkunavathy yang mewakili SPR dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Sungai Udang ketika dihubungi di sini hari ini selepas prosiding pengurusan kes itu di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu, Mohamad Ali tewas pada kerusi DUN Sungai Udang apabila kerusi itu dimenangi oleh Dr. Mohd. Aleef dalam pertembungan empat penjuru, dengan majoriti 530 undi.

Mohamad Ali, 57, memfailkan petisyen itu pada 14 Disember lalu di Mahkamah Tinggi Melaka atas dakwaan terdapat unsur rasuah pada PRN di kawasan tersebut yang berlangsung pada 20 November lepas.

Beliau menamakan Dr. Mohd. Aleef, 35, yang menang dengan majoriti 530 undi dalam pertembungan empat penjuru, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Sungai Udang dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Menurut petisyen Mohamad Ali, Mohd. Aleef sebelum ini adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya sebelum dicalonkan oleh Bersatu untuk bertanding di Sungai Udang.

Mohamad Ali mendakwa Mohd. Aleef tidak pernah dipilih sebagai ADUN dan tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya untuk bahagian itu dan bergantung kepada Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz untuk memperkenal beliau kepada pemilih atau pengundi.

Ikmal Hisham adalah bekas ahli UMNO yang menyertai Bersatu selepas BN tewas kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau telah meletakkan jawatan dalam UMNO sebelum menyertai Bersatu pada 2019.

Mohamad Ali mendakwa Mohd Aleef telah melakukan amalan rasuah pada pilihan raya itu seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 32(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dakwanya Mohd. Aleef dan Ikmal Hisham memberikan hadiah dalam bentuk tunai atau barangan bernilai untuk mengubah keputusan pilihan raya bagi kawasan itu.

Beliau memohon perisytiharan bahawa Mohd. Aleef tidak dipilih dengan sewajarnya dan PRN di kawasan itu adalah terbatal serta perintah atau relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI