TAHUN 2021 tersemat sebagai tahun yang sangat memberi pengajaran buat ramai orang. Dibadai permasalahan Covid-19, industri hiburan tanah air berdepan suka dan suka impak onar sendiri mahupun takdir dari Yang Maha Esa. Biarlah jalan berliku, namun hidup harus diteruskan.
Neelofa ungguli kepanasan
Nama selebriti berniqab. Neelofa tidak pernah sepi sepanjang tahun 2021. Bermula dengan kontroversi konflik percintaan dengan Haris Ismail, dakwaan kahwin senyap-senyap dan akhirnya disatukan sebagai suami isteri di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu, satu demi satu kontroversi mengenainya muncul, namun dia kekal berada dalam kelasnya tersendiri.
Selain cerita kahwin, Neelofa turut terpalit dengan kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sehingga kini kes masih dibicara di mahkamah.
Bukan hanya Neelofa, cerita berkaitan ahli keluarganya iaitu isu paten cap dagangan Harimau Menangis dan pernikahan Noor Nabila dengan Engku Emran turut mencuri pandangan ramai.
Manisnya, pasangan ini dijangka bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi meskipun kedua-dua mereka masih mengunci mulut soal kehamilan.
Pemergian pilu Siti Sarah
Tanggal 9 Ogos 2021 menjadi detik pilu buat seluruh rakyat Malaysia, khususnya industri seni tanah air selepas Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, 37, menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan Covid-19.
Lebih syahdu, isteri kepada pelawak, Shuib itu meninggal dunia sewaktu ditidurkan demi melahirkan bayi lelaki pramatang, Ayash Affan secara pembedahan pada 6 Ogos lalu.
Allahyarham turut meninggalkan tiga lagi anaknya iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin yang kini berumur enam tahun.
Pemergian Siti Sarah yang disifatkan sebagai kematian yang menghidupkan itu mendapat liputan daripada media antarabangsa seperti BBC News, CNN, CNA Lifestyle Asia dan Liputan6 dari Indonesia.
Artis dakwah, hijab
TAHUN 2021 menyaksikan 1,001 perubahan dalam kalangan penggiat seni tanah air termasuk aktiviti dakwah dan pemakaian hijab.
Ramai selebriti wanita yang mengambil keputusan berhijab seperti Fazura, Nana Mahazan, Izara Aishah, Zizi Kirana, Farah Nabilah dan Siti Elizad. Kebanyakan mereka berhijab selepas pemergian Allahyarham Siti Sarah dan sambutan Maal Hijrah.
Selain hijab, aktif berdakwah dalam kalangan selebriti lelaki juga antara yang mencuri perhatian ramai seperti Aliff Aziz, Yusuf Bahrin, Zul Ariffin dan Harris Alif bersama pendakwah terkenal, Ebit Lew.
Janna Nick ratu sensasi, paling popular
JANNA Nick merupakan antara selebriti tanah air yang paling menyerlah tahun ini sehingga berjaya mengungguli gelaran Bintang Paling Popular.
Namanya turut menjadi bualan ramai selepas mendedahkan mengalami masalah kesihatan mental iaitu bipolar dan kontroversi penggunaan nama Lisa Blackpig dalam drama arahannya berjudul Delen.
Antivaksin vs prosafe
KEDUA-DUA pelakon, Lana Nodin dan Rita Rudaini mencuri perhatian dek kelantangan bersuara mengenai keperluan suntikan vaksin Covid-19.
Lana yang kini berada di Amerika Syarikat mahupun Rita menerusi media sosial masing-masing sehingga kini masih berkeras dengan pendirian mengenai pengambilan vaksin serta tidak mengendahkan apa sahaja bentuk kecaman yang diterima.
Cinta, kahwin tak jadi Vida, Iqbal
OGOS lalu, nama Datuk Seri Vida tiba-tiba meledak selepas menghebahkan kepada umum bahawa bakal menamatkan zaman jandanya bersama Iqbal Zulkefli.
Seperti drama sinetron, cinta mereka terkandas, rencana nikah tidak kesampaian, izin Cik B jadi persoalan, begitu dakwaan disihir, semua itu menjadi bahan kecaman netizen. Kini, Iqbal mahupun Vida membawa haluan masing-masing. Iqbal kini berada di Indonesia untuk urusan perniagaan selain membawa diri mengubat duka di hati.
Shuk curang, ‘game’ Tauke
Kalau ada trofi untuk selebriti paling menjengkelkan, dua pelawak popular, Shuk Sahar dan Tauke Jambu barangkali duduk di takhta paling atas. Syuk dengan kisah kecurangannya yang tidak bernoktah sementelah Tauke pula juara paling raja ‘pemasaran’ dalam sosial media.
Rumah tangga Shuk dengan isteri, Rossalennah entah masih membadai. Tauke pula buat ‘magik’ kononnya dah kahwin dengan seorang wanita yang datang dari ceruk mana, namun hujung-hujung semuanya untuk gimik pemasaran sebuah produk ubat kuat untuk golongan lelaki berkahwin. Ironi!
Ebit Lew vs Caprice
Semuanya bermula dengan ‘pembongkaran’ Caprice yang mendakwa Ebit Lew tidak telus dalam melaksanakan misi kemanusiaan Palestin, Gaza sekitar Jun lalu. Sejak itu, berderet-deret kontroversi dan drama yang sehingga kini masih belum berkesudahan dan tergantung begitu sahaja.
Daripada dakwaan penyelewengan dana, pertelingkahan antara Caprice, Ebit Lew dan beberapa individu lain seperti Ustaz Firdaus Wong serta Nadir Al-Nuri, penyebaran video tidak senonoh yang didakwa mirip Ebit sehinggalah untaian laporan polis melibatkan isu berbangkit.
Caprice kemudian bernikah dengan seorang ibu tunggal anak satu bernama Elis pertengahan November lalu.
Dalam satu temu bual eksklusif kepada Kosmo!, dia memberitahu, akan meneruskan perjuangannya, namun buat masa sekarang, ‘handbrake’ ditekan oleh isteri.
Caprice atau kini dikenali sebagai Daddycap sepertinya sudah mati akal untuk meneruskan kemaraan idealoginya sementelah Ebit kekal bebas ke hulur ke hilir melaksanakan misi bantuannya di seluruh pelosok dunia.
Siti Nordiana vs lima sekawan
PERANG dingin selebriti versatil, Siti Nordiana bersama lima sahabatnya berakhirnya dengan saman berjumlah RM2.5 juta. Siti Nordiana mendakwa Lan Solo, Sheila Razlan, Syura, Sam Musyadzafar dan Razidah memfitnahnya dalam platform media sosial Instagram pada Julai lalu. Menurut peguam terlibat, kes tersebut berkemungkinan cuba diselesaikan secara baik.