PETALING JAYA – Seramai 10 mangsa sindiket penipuan perkhidmatan pembersihan dalam talian terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM77,888 kerana terpedaya dengan pengiklanan servis sindiket terbabit.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sindiket itu mengambil peluang memperdaya mangsa dengan menawarkan produk palsu dan perkhidmatan tidak wujud secara online.
“JSJK mengesan wujudnya modus operandi penipuan baharu yang menawarkan perkhidmatan pembersihan palsu online kepada pelanggan dimana ahli sindiket bertindak menggunakan beberapa nama syarikat berbeza yang mengiklankan servis pembersihan rumah, pejabat dan seumpamanya melalui media sosial.
“Apabila mangsa yang berminat menghubungi sindiket melalui aplikasi Whatsapp, suspek akan meminta mangsa membuat pembayaran melalui pautan yang dihantar ahli sindiket,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pautan itu akan membawa mangsa kepada laman web perbankan palsu dimana mangsa akan membuat pembayaran perkhidmatan pembersihan melalui laman itu tetapi gagal.
“Laman web palsu dilawati mangsa akan menyimpan semua data perbankan yang dimasukkan dan seterusnya sindiket akan mengakses akaun bank mangsa dan membuat pemindahan wang tanpa pengetahuan mereka.
“Sebanyak 10 laporan kes berkaitan telah diterima setakat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Tambah Kamarudin, orang ramai yang mungkin menjadi mangsa kepada sindiket penipuan ini diminta untuk tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. – K! ONLINE.