KINABATANGAN – Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kimanis bersama lima ahli keluarganya terlibat kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kinabatangan berhampiran Kampung Paris Satu semalam.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.10 petang itu.
Kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dipandu Mohd Johainin Ruslan, 35, dikatakan berlanggar dengan dua buah kenderaan lain.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.13 petang sebelum seramai tujuh anggota menggunakan sebuah jentera diarahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kemalangan, anggota bertigas mendapati memang terdapat kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan.
“Seramai lapan mangsa berusia lingkungan antara enam hingga 39 tahun terlibat dalam kemalangan berkenaan.
“Enam mangsa adalah dari kenderaan Perodua Alza, seorang pemandu lori dan seorang lagi dari kenderaan pacuan empat roda.
“Dua individu daripada MPV berkenaan dilaporkan parah manakala empat lagi hanya mengalami cedera ringan selain dua daripada kenderaan berasingan dilaporkan selamat.
“Semua mangsa cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, operasi menyelamat mangsa tamat sepenuhnya pada pukul 5.05 petang. -K! ONLINE.