LONDON – Penjaga gol Leicester City, Kasper Schmeichel menegaskan, dia tidak pernah melakukan sebarang kajian terhadap corak sepakan penalti Mohamed Salah.
Bagaimanapun, Schmeichel merasakan kejayaannya menafikan sepakan penalti Salah menjadi titik tolak kepada kemenangan 1-0 pasukannya ke atas Liverpool.
“Tidak, saya langsung tidak pernah meneliti apatah lagi belajar tentang sepakan Salah. Saya hanya pergi ke arah yang saya rasakan betul.
“Kamu hanya boleh berdoa (mengenai lantunan bola). Kali terakhir saya selamatkan penalti di sini, pemain lawan tetap berjaya menjaringkan gol menerusi tindakan susulan.
“Apabila menentang lawan seperti ini, kamu juga harapkan nasib. Ia kemenangan yang cukup penting selepas turut mengharungi perlawanan sukar dalam aksi sebelum ini.
Kemenangan itu menyaksikan The Foxes kini menghuni tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris (EPL), manakala Liverpool yang kekal di tempat kedua ketinggalan enam mata berbanding Manchester City.
Schmeichel juga menghamburkan pujian kepada penjaring gol kemenangan, Ademola Lookman yang disifatkan sebagai pemain luar biasa.
“Ade (Lookman) muncul dengan prestasi terbaik. Kunci utama musim ini adalah konsistensi.
“Jika kami gagal melakukan tugas dengan baik, ia pasti beri masalah. Jujurnya, kami sudah pun bekerja keras untuk tambah baik setiap aspek.” – AGENSI