PARIS – Bintang sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe berjanji dia tidak akan meninggalkan pasukan itu dengan menyertai gergasi Sepanyol, Real Madrid pada jendela perpindahan bulan depan.
Kenyataan itu akhirnya menjawab segala teka-teki berhubung masa depan Mbappe di Parc des Princes memandangkan kontraknya berbaki enam bulan sahaja lagi sebelum dia meninggalkan PSG secara percuma hujung musim ini.
Penyerang prolifik berusia 23 tahun itu menjelaskan, dia tidak pernah berniat untuk berhijrah pada pertengahan musim seperti yang digembar-gemburkan pihak media sejak kebelakangan ini.
“Saya tidak akan sertai Real pada Januari ini. Ia tidak akan menjadi kenyataan.
“Sekarang saya gembira di Paris dan 100 peratus saya akan tamatkan saingan musim ini sebagai pemain PSG. Saya akan berikan segala-galanya untuk kelab ini kembali memenangi kejuaraan.
“Kejohanan domestik dan Liga Juara-Juara adalah matlamat utama PSG. Saya akan berikan kegembiraan kepada para penyokong dahulu kerana mereka berhak untuk meraikannya,” kata Mbappe.
Walaupun tidak ke Madrid bulan depan tetapi Mbappe masih tetap boleh melakukan rundingan prakontrak dengan Real mengenai perpindahan musim panas nanti tanpa perlu bimbang urusan itu akan dihalang oleh PSG.
Rata-rata penyokong setia PSG sudah menerima hakikat Mbappe tidak meninggalkan kota Paris lagi buat masa ini kerana menghormati kontrak kelab sebelum secara rasminya bergelar pemain baharu Real bermula saingan musim depan. – AGENSI