DUNIA hiburan K-pop digegarkan dengan banyak isu pada tahun ini. Kontroversi panas, skandal dan tidak kurang juga pencapaian ikonik yang diraih, berikut merupakan beberapa perkara yang paling mencuri tumpuan sepanjang tahun ini.
Jennie. G-Dragon ‘power couple’
MESKIPUN tidak pernah ditangkap berdua-duaan, namun peminat masih yakin bahawa Jennie dan G-Dragon kini sedang bercinta selepas laman Dispatch ‘mendedahkan’ hubungan mereka
Hadir di PBB, kuasa BTS menakluki muzik global
KUMPULAN fenomena BTS kekal mendunia dengan pelbagai pencapaian pada tahun ini meskipun pandemik masih berleluasa. Daripada kemenangan di pentas America Music Awards (AMA) ke pencalonan kedua pada acara Grammy, BTS melakar sejarah apabila menjayakan konsert fizikal di Stadium SoFi, California baru-baru ini. Pencapaian paling bersejarah adalah kehadiran mereka pada acara Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September.
Di situ, BTS berpeluang mengadakan persembahan sebelum memberi ucapan pada persidangan tersebut buat kali kedua.
Bertukar status, kahwin, beranak
PERMULAAN baharu kehidupan artis K-pop banyak berlaku pada tahun ini dengan menyaksikan beberapa nama bertukar status.
Ada yang menjadi ibu dan bapa, tidak kurang juga yang sudah dan bakal berkahwin.
Bobby daripada kumpulan iKON mengejutkan peminat apabila mendedahkan pasangannya sudah hamil anak pertama sekitar Ogos lalu.
Selain itu, aktres Park Shin-hye juga bakal bergelar ibu tidak lama lagi. Dia bakal berkahwin dengan kekasihnya yang juga aktor Choi Tae-joon pada Februari depan.
Perkara sama turut berlaku kepada Chansung (2PM) yang akan berkahwin pada awal tahun gadapan selepas kekasihnya hamil.
Ungguli carta sensasi, zaman kejatuhan Kris Wu
PERNAH menjadi ahli kumpulan popular EXO, penyanyi Kris Wu mendahului carta kepanasan tahun ini. Kris yang kini berada dalam tahanan di China didakwa dengan pertuduhan mencabul ramai wanita termasuk remaja bawah umur.
Bahana kes tersebut, namanya tercalar dan digugurkan daripada pelbagai promosi serta penamatan kontrak bersama pelbagai jenama besar.
Hukuman akibat skandal buli
BULI, isu yang paling kerap terjadi kepada artis K-pop. Tahun ini saja, berderet nama popular yang jatuh terduduk selepas terlibat dengan isu buli. Antaranya ialah Soojin (G)I-DLE, Mingyu Seventeen, Hyunjin Stray Kids. Kesemua mereka didakwa sengaja dengan melakukan perbuatan buli ketika dibangku sekolah. Walaupun hal tersebut dinafikan oleh agensi, namun mereka tetap menerima ‘hukuman’. Hyunjin direhatkan selama enam bulan, sementara Soojin pula terpaksa mengundur diri daripada (G)I-DLE.