fbpx

Meredah banjir ibarat gadai nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SEJAK 17 Disember hingga Ahad lalu, seramai 42 korban banjir dicatatkan di seluruh negara. Lima mangsa pula masih belum ditemui dan dikhuatiri lemas.

Mengikut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mangsa yang mati lemas dan masih hilang terdiri daripada 32 lelaki, 12 wanita dan tiga kanak-kanak.

Selangor mencatatkan angka mangsa tertinggi sebanyak 25 orang, diikuti Pahang seramai 19 mangsa, manakala tiga lagi di Kelantan.

Korban banjir kali ini adalah paling ramai dan dua kali ganda berbanding 21 mangsa pada 2014 walaupun ketika itu dianggap sebagai bencana terburuk pernah dialami negara dalam beberapa dekad.

Tetapi kali ini, jumlah kematian akibat banjir di Selangor sahaja telah melepasi angka korban pada 2014. Mangsa paling ramai dilaporkan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

Meredah banjir menggunakan kenderaan antara punca yang meragut banyak nyawa apabila pemandu atau penumpang terperangkap di dalam kereta.

Tindakan meredah banjir sangat berbahaya. Ramai yang menyangka kenderaan mereka yang berat itu mampu mengharungi air dan ‘memperkecilkan’ kekuatan arus deras akibat banjir.

Kereta kecil dikatakan mampu timbul di dalam air sedalam 60 sentimeter, manakala air sedalam 30 sentimeter pula boleh mengalihkan kedudukan kenderaan itu.

Jangan terlalu yakin untuk meredah banjir dengan melihat pemandu lain mampu berbuat demikian. Tindakan mengekori kenderaan lain adalah satu kesilapan besar.

Jika kereta di hadapan terkandas, kita juga akan tersangkut. Lebih malang lagi apabila air banjir semakin naik ketika itu sehingga menyebabkan kenderaan boleh dihanyutkan arus deras ke kawasan lebih dalam seperti longkang atau sungai.

Kenderaan zaman moden kini dilengkapi banyak alatan elektronik canggih yang sensitif dengan air. Jadi, risiko kereta untuk tersadai ketika mengharungi banjir adalah tinggi. Lebih selamat, tunggu air surut walaupun terpaksa bermalam di jalan raya.

Meredah banjir untuk berpindah sendiri dari kediaman ke tempat selamat juga menjadi punca ramai yang terkorban. Kedalaman air ketika banjir serta kekuatan arus sukar dijangka terutama pada waktu malam dan di kawasan yang jarang dilalui.

Jika air naik secara mendadak dan rumah sudah terkepung, cuba cari kawasan lebih tinggi seperti berada di tingkat atas rumah, bumbung atau pokok. Tunggu di situ sehingga pasukan penyelamat atau sukarelawan tiba.

Jadikan bencana banjir buruk kali ini sebagai pengajaran. Banjir akan berlaku setiap tahun, namun bagaimana cara untuk diharungi dalam keadaan selamat perlu dipelajari agar angka korban kali ini tidak akan dapat diatasi pada tahun-tahun berikutnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI