ONTARIO, KANADA – Satu kajian mendapati bahawa pendedahan berlebihan terhadap skrin peranti elektronik sepanjang tempoh pandemik telah meningkatkan masalah kesihatan mental serta tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, lapor agensi berita United Press International (UPI) semalam.
Kajian diterbitkan dalam jurnal JAMA Network Open itu dijalankan ke atas lebih 2,000 kanak-kanak dan remaja berusia dua hingga 18 tahun di Ontario, Kanada.
Hasilnya mendedahkan bahawa terdapat hubung kait antara kesihatan mental dan masalah tingkah laku dengan aktiviti melibatkan penggunaan skrin seperti menonton televisyen, bermain permainan video serta menggunakan peranti lain termasuk komputer.
Selain itu, remaja yang melakukan aktiviti sedemikian turut mengalami kadar kemurungan, kebimbangan dan kegelisahan yang lebih tinggi termasuk masalah hiperaktif.
Gejala itu meningkat dalam kalangan kanak-kanak yang menghabiskan masa selama sembilan jam atau lebih dalam sehari menggunakan peranti elektronik. Ia menjadi kebiasaan ketika pandemik apabila sekolah ditutup.
Menurut pengarang kajian, Dr. Catherine S. Birken, kesan tersebut akan menjadi lebih besar sekiranya lebih banyak masa dihabiskan pada skrin.
“Kanak-kanak dengan masa skrin yang lebih lama mempunyai tahap gejala kesihatan mental lebih tinggi berbanding mereka yang kurang melakukan aktiviti tersebut,’’ katanya.
Sementara itu, kajian yang sama turut mendapati bahawa kanak-kanak dan remaja berusia enam ke 18 tahun yang menghabiskan masa melebihi dua jam setiap hari untuk menonton televisyen dan peranti elektronik, bermainan permainan video serta berbual secara maya adalah lebih mudah mengalami tekanan, keresahan, hiperaktif dan sukar memberi perhatian.
“Selain itu, kaedah pembelajaran secara online melebihi dua jam sehari turut berkait rapat dengan tekanan dan kegelisahan dalam kalangan mereka yang berusia enam ke 18 tahun,” kata Birken. – AGENSI