RANTAU PANJANG – Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand termasuk seorang remaja berusia 15 tahun di Lebuh Raya Rantau Panjang-Pasir Mas di sini semalam.
Kesemua suspek ditahan pada pukul 6 petang selepas anggota PGA menahan sebuah kenderan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dipandu seorang wanita warga Thailand.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota PGA melihat MPV berkenan dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan serbuan rondaan di kawasan itu.
Menurutnya, anggota bertugas telah menahan kenderaan itu sebelum membuat pemeriksaan terhadap dua wanita dan tiga lelaki PATI warga Thailand berusia 15 hingga 21 tahun.
“Keempat-empat PATI itu didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Selain itu, PGA turut menahan seorang wanita warga Thailand yang bertindak sebagai tekong darat mengangkut kesemua suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Azhari, kesemua PATI dibawa ke Balai Polis Pasir Mas di sini untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE