SIRI KETIGA
BINTANG muda olahraga negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi tidak akan menjadi one-hit wonder kerana sudah dua tahun berturut-turut berjaya membuktikan lariannya melalui catatan masa di peringkat umur bawah 20 tahun (B-20).
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md. Ramli percaya Azeem mempunyai potensi besar sebagai pelari pecut bertaraf dunia berdasarkan penilaian ujian yang dijalankan ke atasnya tahun lepas.
“Kita tidak pernah lihat lagi atlet dengan fizik tubuh sebegini dalam sejarah olahraga negara. Fizikal badan dia boleh berkembang lagi sebenarnya.
“Dia ada sesuatu yang istimewa dengan bakat berkelas dunia. Kalau diberi bimbingan yang betul, tidak mustahil kita boleh lihat pelari pecut kita mampu layak secara merit ke Sukan Olimpik,” katanya.
Tahun lepas, Azeem pada usia 15 tahun dengan rekod peribadi 100 meter (m) iaitu 10.57 saat (s) sudah mampu berada di kedudukan ke-60 dunia dan ketujuh Asia dalam kategori B-18 serta menghuni ranking ke-73 B-20 Asia untuk 2019.
Azeem yang genap 16 tahun pada 29 April lalu memperlihatkan peningkatan prestasi lebih ketara, kali ini untuk 200m, walaupun cuma sempat menyertai satu kejohanan sahaja tahun ini disebabkan penularan wabak pandemik Covid-19.
Rekod peribadi 200m, 21.04s dilakukannya pada Februari lalu adalah catatan ketujuh terpantas dalam sejarah 200m Malaysia dan turut menghuni ranking-97 dunia serta ketujuh Asia bagi kategori senior untuk tahun ini.
Ia secara tidak langsung menyaksikan Azeem muncul pelari terbaik B-18 Asia, ketiga B-18 dunia, kelima B-20 Asia dan ke-17 B-20 dunia setakat Julai 2020.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kecederaan serius mampu merencatkan tahap perkembangan Azeem yang menetapkan matlamat untuk bergelar pelari 100m dengan catatan masa bawah 10s sebelum mencapai umur 26 tahun.
Bagaimanapun, Ahmad Faedzal menegaskan, langkah berhati-hati perlu diambil agar Azeem bebas daripada kecederaan dan tidak terlalu memaksanya kerana elemen-elemen ini memainkan peranan besar dalam pembesarannya.
“Kita menggunakan pendekatan saintifik untuk menganalisis Azeem kerana tidak mahu dia menjadi one-hit wonder. Kalau cedera serius, ia boleh menjejaskan perkembangan dia sewaktu umur 19 atau 20 tahun nanti,” jelasnya.
Justeru, pihak ISN sedia memberikan sokongan tambahan 100 peratus buat Azeem dan semua pelari pelapis serta kebangsaan dalam meningkatkan perkembangan mereka menerusi kepakaran yang mereka ada.