TAIPING – Polis sedang melengkapkan siasatan kes rogol dua beradik yang didakwa dilakukan seorang penjawat awam di kawasan belukar dekat Ayer Tawar, Manjung minggu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah selesai merakam keterangan mangsa berusia 37 dan 20 tahun serta tiga saksi lain iaitu teman lelaki seorang daripada mangsa, bapa dua beradik tersebut dan seorang pengawal keselamatan.
Katanya, keterangan kesemua mereka diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 dan 392 Kanun Keseksaan.
“Berdasarkan siasatan, mangsa dan suspek tidak mengenali satu sama lain. Suspek direman tujuh hari sejak Sabtu lalu hingga 1 Januari ini.
“Kita juga telah merampas beberapa barang termasuk kad pengenalan, beg tangan, lesen memandu dan kunci motosikal,” katanya ketika ditemui selepas Program Hari Bertemu Pelanggan bersama Ketua Polis Perak di Taiping Mall di sini hari ini.
Menerusi laporan media Ahad lalu, seorang penjawat awam berusia 21 tahun yang bertugas di Kota Samarahan, Sarawak ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes rogol dua beradik pada pukul 2.38 pagi, 21 Disember lalu. – K! ONLINE