GEORGE TOWN – Seorang buruh binaan warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga Indonesia awal bulan ini.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Kamruzzaman, 37, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret R. Manomani.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh seorang warga Indonesia, Sumita, 45, di sebuah unit kediaman di Sri Nipah, Medan Nipah dekat Sungai Dua di sini di antara pukul 9.30 malam pada 4 Disember hingga pukul 1.20 pagi pada 6 Disember lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes itu akan disebut semula pada 28 Februari depan sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia, manakala tertuduh tidak dibenar diikat jamin.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan, Kamruzzaman dihukum penjara lima bulan selepas didapati bersalah atas pertuduhan tinggal lebih masa di negara ini tanpa sebab munasabah sedangkan pasport miliknya tamat tempoh pada 12 Mei 2019.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Akhbar baru-baru ini melaporkan seorang wanita warga Indonesia berusia 45 tahun ditemui mati di dalam bilik utama sebuah apartmen di Sungai Nibong di sini dengan beberapa kesan kelaran.
Selain menahan dua lelaki warga Bangladesh yang menyewa rumah itu, polis turut menjalankan usaha memburu seorang lelaki Bangladesh yang dikatakan teman lelaki mangsa dan menyewa bilik utama sejurus mayat ditemui. – K! ONLINE