SHAH ALAM – Penduduk di sekitar daerah ini yang menjadi mangsa banjir terus mengunjungi beberapa balai polis dalam membuat laporan polis bagi memudahkan proses permohonan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Tinjauan di Balai Polis Seksyen 6 dan Seksyen 15 mendapati terdapat lebih 20 individu dengan pihak polis menyediakan khemah dan kerusi demi keselesaan pengadu sebelum memasuki balai polis bagi membuat laporan polis.
Seorang penduduk ditemui, M. Ramasamy, 35, berkata, ini merupakan kali kedua dia hadir di Balai Polis Seksyen 15 bagi tujuan pelaporan.
“Semalam saya tunggu sejam nak buat laporan polis tetapi gagal susulan ramai yang hadir untuk tujuan sama.
“Jadi, saya datang semula hari dan lega dapat melakukan laporan polis itu. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan kecekapan anggota polis bertugas yang menerima laporan saya,” katanya di sini hari ini.
Bagi Razif Mat Arbak, 37, laporan polis itu penting bagi melengkapkan dokumen dalam memohon bantuan termasuk wang tunai RM1,000 yang ditawarkan kerajaan pusat dan negeri bagi membantu mangsa banjir dalam pasca bencana ini.
“Semua bantuan ini memerlukan salinan laporan polis sebagai bukti saya salah seorang mangsa. Apapun, saya harap pihak Kerajaan Pusat dan negeri dapat segera menyalurkan bantuan kewangan kepada mangsa banjir,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah menerima 12,725 laporan polis berkaitan banjir setakat semalam manakala jumlah laporan polis harian adalah sebanyak 276. -K!ONLINE