PETALING JAYA – Penyanyi versatil Liza Hanim memasuki senarai terbaharu selebriti yang dijangkiti virus Covid-19.
Paling sadis, bukan sahaja Liza, malah kelima-lima anak dan ibunya turut positif wabak maut tersebut.
Liza ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi berkata, dia menerima ketentuan tersebut sebagai satu ujian dari Allah buatnya dan keluarga.
“Alhamdulillah saya terima ujian ini sebagai satu rezeki dari Dia. Ujian sebelum tahun 2021 berakhir dan melabuhkan tirai.
“Kalau ikutkan seorang anak lelaki saya dijangkiti terlebih dahulu. Jangkitan tersebut berpunca daripada ahli keluarga yang datang ke rumah minggu lalu untuk ziarah anak lelaki ketiga yang baru sahaja berkhatan.
“Jadi bila tahu seorang anak sudah dijangkiti beberapa hari lalu, kami bertujuh yang memang tinggal dalam satu rumah pun buat ujian calitan di klinik berhampiran.
“Jadi hasil ujian calitan, seorang demi seorang ahli keluarga mula dijangkiti termasuklah saya,” katanya.
Tambah pelantun lagu Gelisah Mimpi itu lagi, dia dan kesemua ahli keluarga yang dijangkiti kini menjalani kuarantin kendiri di rumah.
“Buat masa ini Kementerian Kesihatan minta kami jalani kuarantin kendiri di rumah. Kami bertujuh tinggal dalam satu bilik. Makan minum semua suami yang sediakan kerana dia seorang sahaja yang negatif.
“Dari segi simptom, saya sendiri alami hilang deria rasa dan bau. Demam kejap datang kejap hilang. Batuk dan selesema pun ada juga.
“Anak-anak lain pun begitu juga. Cuma saya bersyukur anak lelaki bongsu yang berumur tiga tahun tiada simptom yang teruk. Begitu juga dengan ibu saya,” ujarnya yang menyatakan semua ahli keluarga sudah menerima dos lengkap vaksin.
Terdahulu, Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, 42, menerusi hantaran dalam Instagram sejam lalu mendedahkan berita sedih tersebut kepada pengikutnya.
“Bismillahirrahmanirrahim. Yang ditakuti terjadi. I am part of the statictics now. (Saya sebahagian daripada statistik sekarang).
“Akak mohon doakan akak, mak akak dan kelima-lima anak kembali pulih daripada Covid-19. Alhamdulillah kami dipilih menerima ujian Allah. Semoga kami kuat,” tulisnya.
Hantaran tersebut turut dihujani doa dan kata-kata semangat daripada pengikut dan rakan artis yang mendoakan Liza serta keluarganya tabah dan kembali sihat seperti sedia kala. – K! ONLINE