JAKARTA – Penduduk sekitar Sukaraja dalam daerah Tasikmalaya gempar apabila hujan ais yang disertai angin kencang membadai kawasan tersebut sehingga menyebabkan beberapa batang pokok tumbang, lapor laman berita Detik semalam.
Berdasarkan sebuah video yang tular, butiran hujan ais dilihat jatuh di atas jalan di Sukaraja Cibalong sehingga menyebabkan orang ramai panik dan bertempiaran lari sambil melaungkan takbir.
“Allahu Akbar! Hujan ais, hujan ais!” demikian seperti dilaungkan orang ramai.
Sementara itu, menurut seorang saksi, Wildan, fenomena hujan ais itu berlaku sekitar 15 ke 20 minit.
“Hujan ais berlaku antara 15 hingga 20 minit dengan saiz ais kira-kira sebesar biji buah salak.
“Orang ramai dan saya sendiri menjadi panik ketika kejadian itu,” katanya. – Agensi