MANCHESTER – Manchester United dilaporkan menjadi kelab pertama yang mengemukakan tawaran untuk mendapatkan khidmat penggempur sensasi River Plate, Julian Alvarez untuk memastikan pemain itu menjadi milik mereka.
Menurut laporan, pemain berusia 21 tahun itu turut diintai oleh beberapa lagi kelab gergasi Eropah selepas berjaya mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Liga Primera Argentina bersama pasukannya itu.
Memulakan karier bola sepak di peringkat remaja bersama Club Atletico Atalaya, Alvarez kemudian menandatangani kontrak bersama River Plate pada 2015 sebelum berjaya menembusi kesebelasan utama pada 2018 dan kini menjadi tonggak penting pasukan itu.
Bersama skuad kendalian Marcelo Gallardo, Alvarez berjaya membuat 96 penampilan dengan meledak 36 gol selain turut berjaya melakukan 25 umpanan gol untuk kelab berkenaan.
Separuh daripada jaringan yang dihasilkannya itu adalah sepanjang 21 penampilan musim ini menyebabkan namanya menjadi tumpuan kelab-kelab gergasi Eropah termasuk United yang terus menghantar pasukan pencari bakatnya sejak beberapa bulan lalu.
United terdesak untuk memiliki seorang lagi pemain di bahagian serangan ketika mereka bakal kehilangan khidmat Anthony Martial yang akan berhijrah selain Cristiano Ronaldo yang kini semakin berusia.
Kehadiran Alvarez akan membentuk rangkaian serangan yang lebih baik buat skuad kendalian Ralf Rangnick itu bersama Marcus Rashford, Mason Greenwood dan Jadon Sancho.
United juga dikatakan menyiapkan tawaran berkenaan selepas mendapat tahu bahawa Bayern Munich juga telah menghubungi River Plate untuk berunding mengenai potensi perpindahan Alvarez ke Allianz Arena. – AGENSI