PETALING JAYA – Giant menyumbang wang tunai berjumlah RM100,000 untuk membantu keluarga di Klang dan kawasan sekitar yang terjejas akibat banjir besar yang berlaku baru-baru ini.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada Yayasan MyKasih untuk agihan segera kepada keluarga terkesan, yang mana setiap keluarga bakal menerima RM100 untuk membeli makanan dan barangan keperluan lain.
Ketua Pegawai Eksekutif DFI Retail Group Asia Tenggara, Chris Bush berkata, pihaknya turut bersedih dengan bencana tersebut dan berharap bantuan yang diberikan akan mengurangkan beban yang ditanggung kumpulan terjejas.
“Kami juga berterima kasih kepada pasukan Giant yang telah melangkaui skop tugasan sebenar mereka dalam menjaga keselamatan pelanggan ketika banjir melanda kedai kami.
“Banjir kali ini turut memberi kesan kepada sejumlah ahli pasukan Giant.
“Kami juga akan menyediakan bantuan buat mereka dan keluarga dari segi kewangan, penginapan sementara, makanan dan keperluan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bush menambah, dalam situasi mencabar sekarang, pihak Giant akan terus memberi perkhidmatan dan sokongan kepada komuniti sebaik yang mungkin.