SOUTHAMPTON – Penyerang Southampton, Danny Ings mahu melupakan episod hitam bersama Liverpool selepas mengalami kecederaan sehingga menjejaskan kariernya.
Dia kini yang sudah pulih semakin yakin untuk terus mempamerkan aksi terbaik buat pasukan itu dan semangatnya semakin berkobar-kobar selepas mendapat panggilan daripada skuad kebangsaan England.
Kejayaan meledak 22 gol pada saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu menyebabkan khidmatnya diintai oleh Gereth Southgate ketika England bakal bertemu Iceland dan Denmark pada saingan Liga Negara-Negara Eropah.
“Kecederaan di Liverpool adalah suatu yang menakutkan dan secara jujur saya sudah melupakan mengenainya,” kata Ings.
Ings sebelum ini menyertai Liverpool dari Burnley pada musim panas 2015, namun hanya mampu membuat 25 penampilan untuk tempoh tiga musim ekoran masalah kecederaan.
Pemain berusia 28 tahun itu menyertai Southampton pada musim 2018/2019 secara pinjaman sebelum melengkapkan perpindahan secara kekal musim lalu.
Bagaimanapun, Ings masih menaruh keyakinan bahawa pintu skuad kebangsaan England masih terbuka untuknya ketika dia berdepan masalah kecederaan.
“Secara jujur saya masih menaruh harapan dan yakin. Saya fikir ini adalah peluang kedua untuk saya dalam bola sepak kerana sudah terlepas banyak momen terbaik ekoran masalah kecederaan yang saya alami,” ujarnya. – AGENSI