PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca signifikan bagi tempoh seminggu bermula 29 Disember hingga 4 Januari tahun hadapan melibatkan beberapa negeri di semenanjung serta Sabah dan Sarawak.
MetMalaysia melalui Facebook rasminya hari ini berkata, berdasarkan analisis yang dilakukan, luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 3 Januari 2022.
Tambahnya, pembentukan awan hujan aktif di Laut China Selatan dan Laut Sulu berpotensi menyebabkan berlakunya hujan berterusan di timur Sabah sehingga 2 Januari manakala di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka berlaku bermula 30 Disember hingga 3 Januari.
“Angin kencang dan laut bergelora sedang berlaku di perairan Pantai Timur Semenanjung, Sarawak dan Sabah dan diramal berterusan bagi tempoh enam hari bermula hari ini.
“Met Malaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada melibatkan negeri Sabah, Pantai Timur Semenanjung dan Johor,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman rasmi MetMalaysia untuk perkembangan cuaca terkini dan membuat semakan lokasi sekiranya disenaraikan dalam kategori amaran. – K! ONLINE