BALIK PULAU – Bau busuk dari sebuah stor petis udang di sebuah kilang di Pantai Acheh di sini membongkar penemuan ulat berenga di dalam tong menyimpan produk itu.
Kilang yang beroperasi sejak lebih 50 tahun itu juga dipercayai menyimpan stok petis udang lama yang dipenuhi ulat tersebut di dalam stor sama dengan produk baharu.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP), Mohd. Wazir Khalid berkata, pihaknya mendapati pemilik premis itu telah mengguna logo halal tanpa kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Ada di antara produk petis udang ini yang tarikh luputnya 2024, namun pemeriksaan mendapati produk ini telah rosak.
“Kilang berkenaan juga meletakkan logo halal palsu untuk mengaburi mata pengguna walaupun tidak pernah mendapatkan sijil halal dan kita akan melaporkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika melakukan pemeriksaan di premis itu hari ini.
Menurutnya, dua notis kompaun berjumlah RM5,000 dikeluarkan dan premis itu juga diarahkan tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 untuk pemilik menjalankan kerja-kerja pembersihan.
Tambahnya, petis udang itu percayai dihasilkan di kilang itu untuk edaran ke seluruh negeri ini dan ia turut digunakan untuk membuat rojak.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Wazir berkata, sebuah kilang pembuatan kicap di Jalan Batu Maung, Bayan Lepas di sini turut diperintah tutup selama 14 hari kerana beroperasi dalam keadaan yang tidak mematuhi standard kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan.
Kata Mohd. Wazir, proses pembuatan kicap di kilang itu dikhuatiri boleh menyebabkan pencemaran silang kerana terdapat bahan asing seperti sarang labah-labah di dalam tong penapaian kacang soya serta najis tikus di lantai. – K! ONLINE