GUA MUSANG – Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes seorang remaja yang maut selepas separuh badannya hancur digilis kereta api berhampiran Kampung Tiong di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, polis sedang mengenal pasti identiti remaja berkenaan yang tidur di landasan kereta api itu bersama mangsa sebelum bertindak melarikan diri apabila kejadian tragis menimpa rakannya.
Katanya, hasil siasatan mendapati, mangsa, Mohamad Azwan Syhmin Md. Yusoff, 18, dipercayai telah tidur bersama seorang lagi rakannya di atas jambatan sebelum diseret dan digilis kira-kira 30 meter oleh kereta api itu.
“Kita percaya rakan mangsa berasa takut dan menghilangkan diri selepas kejadian itu.
“Kita meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat mengenai rakan mangsa agar tampil dengan segera untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan, Mohamad Azwan Syhmin telah digilis kereta api yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Tumpat pada pukul 5.30 pagi semalam.
Choon Foo berkata, pemandu kereta api yang melihat dua orang lelaki berhampiran landasan dipercayai telah membunyikan hon, namun mangsa tidak sempat menyelamatkan diri.
Menurutnya, bagaimanapun, rakan mangsa yang tidur bersamanya di atas jambatan itu berjaya lari dan menyelamatkan diri. – K! ONLINE