KOTA BHARU – Seorang ketua kumpulan dikenali sebagai Adik Mat bersama anak buahnya yang dipercayai merupakan dalang disebalik kegiatan samun bersenjata dan pengedaran dadah ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di sebuah pondok di dalam kawasan kebun getah di Kampung Batu Papan, Gua Musang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, kedua-dua penjenayah masing-masing berusia 29 dan 36 tahun disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pegawai dan anggota unit khas Cawangan Jenayah Berat D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) telah melakukan serbuan di pondok dua tingkat yang dipercayai menjadi tempat persembunyian mereka.
“Semasa serbuan dijalankan, salah seorang suspek berada di tangga pondok manakala seorang lagi berada di tingkat atas sebelum bertindak terjun ke bawah dan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan polis.
“Kedua-dua suspek telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis semasa melarikan diri sejauh 200 meter sebelum mereka ditembak mati,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, dalam kejadian itu, polis turut merampas dua pucuk pistol, 45 biji peluru hidup pelbagai saiz, tiga kelongsong peluru saiz 9 milimeter dan 1,200 biji pil kuda.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, kedua-dua suspek ini dikehendaki polis berkait kes samun bersenjata, ugutan jenayah dan kegiatan pengedaran dadah sejak tiga tahun lalu.
Ujarnya, polis percaya telah dapat menyelesaikan lapan kes jenayah samun di sekitar Gua Musang selepas ketua kumpulan itu berjaya ditumpaskan.
“Ketua kumpulan sindiket berkenaan merupakan suspek yang berusia 29 tahun dan mempunyai 12 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah. Suspek kedua yang juga anggota kumpulan berusia 36 tahun mempunyai empat rekod jenayah.
“Polis masih mengesan saki baki ahli kumpulan terbabit yang dipercayai masih bebas,” katanya.
Tambah Shafien, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat dan Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960. – K! ONLINE