KUALA LUMPUR – Seorang pengarah dan dua pegawai syarikat penyedia perhidmatan kejuteraan minyak dan gas Serba Dinamik Holdings Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad pada Februari lalu.
Ketiga-tiga tertuduh iaitu Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Datuk Syed Nazim Syed Faisal, 41, dan dua pegawai syarikat sama iaitu Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan Muhammad Hafiz Othman, 37, serta Pengawal Kumpulan Kewangan Azhan Azmi, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.
Mengikut pertuduhan, mereka bertiga didakwa dengan niat menipu mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad berhubung hal ehwal Serba Dinamik Holdings Berhad.
Pernyataan yang palsu itu terkandung di dalam “Serba Dinamik Holdings Berhad’s Quarterly Report on the Consolidated Results for the Quarter and Year Ended 31 December 2020” yang mana dan mereka, selaku pengarah dan pegawai Serba Dinamik Holdings Berha adalah disifatkan telah melakukan satu kesalahan.
Kesalahan itu dilakukan di Bursa Malaysia Securities Berhad, Bukit Kewangan di sini pada pada 26 Februari lalu yang didakwa mengikut Seksyen 369(a)(B) dibaca bersama seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dan boleh dihukum di bawah seksyen 369 Akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM3 juta.
Sementara itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hamidah Mohamed Deril, syarikat itu yang diwakili pegawai eksekutifnya selaku orang kena saman (OKS), Abu Bakar Uzir mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama pada tempat dan tarikh sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dan Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM), Hashley Tajudin, Zul’ida Zulkifli Mohamad Izzudin dan Newton Tham Vun Ket manakala Serba Dinamik dan tertuduh-tertuduh diwakili peguam L. K Mak.
Mahkamah membenarkan Syed Nazim, Muhammad Hafiz dan Azhan diikat jamin masing-masing RM300,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan pada mahkamah selain melapor diri pada pegawai penyiasat sebulan sekali. Tarikh 27 Januari 2022 ditetapkan untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE