PRAIA GRANDE, BRAZIL – Seorang pelagak ngeri di Brazil memecah Guinness World Records dengan berjalan di atas kabel yang menghubungkan dua belon udara panas pada ketinggian melebihi 1 kilometer dari tanah, lapor akhbar Daily Star semalam.
Rafael Zugno Bridi, 34, melakukan aksi berani mati itu di bandar Praia Grande, dengan hanya berkaki ayam pada ketinggian 1,868 meter di udara.
Menurutnya, dia membuat keputusan untuk melakukan aksi berbahaya itu supaya dapat merasai ‘sensasi kebebasan terapung di udara.’
“Saya seorang lelaki yang sukakan cabaran. Saya melakukan perkara berbahaya dan sukar diramal,” katanya.
Tambah Bridi, dia juga gemar mencabar rekod yang sukar ditandingi.
“Kesilapan kecil akan mengakibatkan malapetaka. Jadi, saya memberi sepenuh perhatian bagi memastikan semua prosedur dilakukan dengan teliti.
“Justeru, semua orang perlu bertenang dan yakin, sehinggalah saya menjadi semakin selesa dan tenang berjalan di atas awan pada ketinggian beribu-ribu meter,” ujarnya.
Bridi berkata, aksi lagak ngeri seperti itu melibatkan dedikasi dari sudut latihan dan keselamatan selama bertahun-tahun.
“Saya tidak mengabaikan aspek keselamatan. Saya mempunyai peralatan terbaik, pasukan terbaik dan pengetahuan terkini,” tegasnya. – AGENSI