PETALING JAYA- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat pembelian kecemasan sebanyak 55 unit Outboard Motors (OBM) atau enjin bot bagi menampung kesiapsiagaan dalam menghadapi gelombang kedua banjir di negara ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pembelian kecemasan itu juga bagi menampung penggunaan enjin bot ATM yang digunakan tanpa henti sejak hari pertama banjir.
“Kesemua 55 unit enjin bot baru tersebut telah sampai dan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh ATM bagi meningkatkan keupayaan operasi.
“Ia melibatkan usaha memindahkan mangsa banjir serta menghantar makanan dan barang keperluan di kawasan-kawasan di mana banjirnya masih belum surut,” katanya menerusi hantaran Facebook di sini tadi.
Katanya, enjin bot tambahan itu juga bakal mengukuhkan lagi kesiapsiagaan ATM bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir dalam masa terdekat. -K! ONLINE