fbpx

Tauliah mengajar agama Islam aktivis politik ditarik balik 31 Disember ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Aziz

SHAH ALAM – Tauliah mengajar agama Islam yang diberikan kepada aktivis politik akan ditarik balik berkuat kuasa pada 31 Disember ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, penarikan tauliah itu susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar agama Islam tidak dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan politik oleh mana-mana pihak di Selangor khususnya di masjid dan surau.

Katanya, Sultan Sharafuddin tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik.

Ini akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Selangor serta mencemarkan agama Islam.

“Selaras titah baginda itu, Jawatankuasa Tauliah MAIS akan menyemak semula semua tauliah mengajar agama Islam yang telah dikeluarkan kepada pemegang tauliah di Selangor.

“Mana-mana tauliah yang telah diberikan kepada aktivis politik akan ditarik balik berkuat kuasa pada 31 Disember depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 1 Disember lalu telah mengeluarkan Surat Penarikan Balik Tauliah Mengajar Agama Islam kepada 32 orang pemegang tauliah yang aktif atau menjawat jawatan dalam parti politik.

Abdul Aziz, bagaimanapun berkata, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.

Tegasnya, pengecualian ini juga adalah selaras dengan titah Sultan Sharafuddin.

“Adalah diingatkan mengajar agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen yang sama.

“Sabit kesalahan, boleh dihukum denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atas sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam berhubung dengan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi mana-mana aktivis politik juga adalah merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995).

“Kesalahan itu turut memperuntukkan hukuman sama iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI