PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan berlakunya hujan lebat berterusan di enam negeri disebabakan terdapat sistem cuaca tekanan rendah di Laut China Selatan.
MetMalaysia dalam laporannya berkata, keadaan cuaca buruk yang diramal melanda beberapa kawasan di timur negeri Sabah hari ini dijangka berterusan sehingga 2 Januari nanti.
“Keadaan yang sama juga berpotensi melanda kawasan barat negeri Sarawak bermula esok sehingga 31 Disember.
“Selain itu, di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor juga diramal menerima hujan lebat secara berterusan bermula 30 Disember sehingga 3 Januari nanti,” katanya di sini hari ini.
Oleh itu, orang ramai diminta untuk lebih berhati-hati dan bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan yang boleh berlaku. – K! ONLINE