fbpx

Temui ajal ketika rehat aksi separuh masa pertama perlawanan bola sepak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa berada dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di padang bola Kampung Selising, Pasir Puteh petang semalam. - FOTO: IHSAN PEMBACA

PASIR PUTEH – Seteguk air dan seketul pisang goreng menjadi santapan terakhir buat seorang buruh apabila dia meninggal dunia ketika sedang berehat selepas aksi separuh masa pertama perlawanan persahabatan bola sepak di padang bola Kampung Selising di sini petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, mangsa, Dzulkiflee Daud, 53, dipercayai mengalami sesak nafas sebelum rebah dan tidak sedarkan diri di tepi padang.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang berasal dari Kampung Sokor, Kok Lanas sedang berehat selepas bermain bola sepak pada aksi separuh masa pertama perlawanan persahabatan di padang bola tersebut.

Menurutnya, mangsa dipercayai minum air dan makan seketul pisang goreng sebelum mengalami sesak nafas dan rebah di tepi padang.

“Berdasarkan keterangan rakannya, Dzulkiflee pernah mengadu sakit dada beberapa hari sebelum perlawanan persahabatan itu berlangsung hari ini (semalam).

“Sebahagian pemain membawa mangsa ke klinik kesihatan berdekatan padang berkenaan sebelum membuat laporan di Balai Polis Selising pada pukul 8.48 malam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Ediansha, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung.

Tambahnya, tiada sebarang rekod perubatan diperoleh setakat ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI