SEPANG – Isteri dan anak-anak menyelamatkan diri daripada banjir dibantu ahli keluarga dan jiran, manakala si suami pula sedang bertugas menguruskan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Itu dialami seorang anggota polis dari Balai Polis Dengkil, Koperal Muhsen Bujang, 34, yang tidak dapat membantu isteri serta tiga anak berusia 10, 8 dan 2 tahun selepas rumah mereka di Kampung Cemperai, Dengkil di sini dinaiki air.
Menceritakan pengalaman tersebut, Muhsen berkata, sewaktu kejadian, dia berada di PPS Taman Gemilang, Dengkil bagi menguruskan mangsa banjir di kawasan perumahan dan kampung tersebut pada 18 Disember.
“Isteri saya telefon memaklumkan air dah naik di ruang hadapan rumah dan 20 minit kemudian, dia telefon semula serta bagitahu air dah masuk ke dalam rumah. Kejadian sangat cepat.
“Saya berada di PPS uruskan mangsa banjir lain, jadi tak sempat pergi tengok rumah. Mujur ada keluarga mentua tinggal berdekatan serta jiran dan kawan-kawan membantu memindahkan benda penting,” katanya ketika ditemui pada penyampaian sumbangan mangsa banjir pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhsen yang berasal dari Sarawak berkata, dua kereta miliknya dan isteri sempat diselamatkan namun, motosikal serta lain-lain barangan termasuk dokumen sijil kelahiran dan MyKid tidak dapat diselamatkan. -K! ONLINE