PASUKAN hoki MSNS/PHS mencipta sensasi apabila merangkul kejuaraan Divisyen Dua saingan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2021 selepas menewaskan Kedah Eagle Jr. 3-1 pada aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.
Ketua jurulatih MSNS/PHS, Hasrul Jideh gembira dengan kejayaan dilakar anak-anak buahnya selepas meraih tiga gol padang menerusi dua jaringan Muhamad Salman Sudirman dan satu daripada Muhammad Izaz Afdhaal.
“Kami berjaya mengekalkan konsistensi dan bermain dengan baik sepanjang saingan (Divisyen Dua MJHL). Cuma pada aksi separuh akhir liga, kami mendapat tentangan yang lebih sengit.
“Apa-apa pun, saya sangat lega kerana berjaya melepasi segala halangan untuk mencatat kejayaan pada final hari ini (malam kelmarin),” katanya.
Menariknya, dua gol daripada Muhamad Salman menyaksikan pemain itu muncul sebagai penjaring terbanyak saingan Divisyen Dua MJHL dengan keseluruhan 16 gol.
Kedah Eagle terpaksa akur menamatkan saingan liga sebagai naib juara selepas hanya mampu meraih satu gol menerusi pukulan sudut penalti Mohamad Haikal Hakimi Mohamad Azhan.
Tempat ketiga menjadi milik pasukan MSSPP-PSHA selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas MBPJ Black Widow pada penentuan tempat ketiga dan keempat petang kelmarin.
Dua gol MSSPP-PSHA dijaringkan Gobind Singh Khalsa dan Putera Ahmad Syahmie Ahmad Aswad, manakala Aiman Haqim Badrulhisham menghasilkan jaringan buat MBPJ Black Widow.